Fitnah Ulama & Alamat Kiamat
SULIT sekali untuk menjawab soalan orang yang bertanya siapa
ulama sebenar, kerana ulama tidak mempunyai identiti zahir yang boleh
dikesan oleh pancaindera seperti paderi bagi agama Kristian dan sami
bagi kepercayaan Buddha atau Hindu. Tidak ada lambang tertentu atau
pakaian khusus yang membezakan antara ulama dengan golongan yang bukan
ulama. Juga tidak ada tanda-tanda istimewa yang meletakkan mereka
maksum, suci atau kudus.
Kesulitan ini timbul kerana akhir-akhir ini ada orang yang tidak lagi
menilai ulama berteraskan kepada ilmunya yang mendalam dalam agama
Islam, akhlaknya, kesolehannya, kewarakannya dan ketakwaannya. Tetapi
lebih cenderung menamakan ulama itu semata-mata kepada mereka yang
berkelulusan dari pusat-pusat pengajian tinggi Islam, atau mereka yang
bekerja di jabatan-jabatan yang berhubungan dengan urusan pentadbiran
agama.
Paling anehnya ramai juga mereka yang melabelkan ulama itu pada
mereka yang dapat mencipta imejnya dengan serban, jubah, dan janggut.
Atau mereka yang dapat berpidato dengan baik dan dapat membaca dalam
ucapannya ayat-ayat al-Quran dan hadis dengan fasih. Atau mereka yang
menjadi ahli kepada pertubuhan yang diberi nama ulama atau sebagainya.
Kecenderungan seumpama inilah yang menyebabkan timbulnya kekeliruan
dan kecelaruan tentang pengertian dan konsep ulama sebenar, sehingga madlul
ulama menjadi kabur. Lebih-lebih lagi apabila ada pihak-pihak tertentu
yang gigih memperalatkan institusi ulama bagi kepentingan diri dan
golongan untuk maksud duniawi.
Sebelum ini tidaklah sepayah hari ini untuk mengenali ulama di
Malaysia. Walaupun tidak ada seorang pun di kalangan mereka yang
mendakwa sebagai ulama, tetapi mereka dikenali dan diiktiraf umum
sebagai ulama.
Pengiktirafan yang diberi adalah kerana ilmunya yang memberi manfaat,
tutur katanya meninggalkan kesan yang segar, buku-buku dan hasil
penulisannya tersebar luas dan akhlaknya menarik. Mereka adalah penegak
perkara-perkara baik (makruf) dan penghalang segala keburukan (mungkar)
yang meliputi mungkar kejahilan, kemiskinan, kemunduran dan segala
bentuk kelemahan.
Mereka adalah golongan yang selaras dengan apa yang disebutkan dalam
al-Quran surah al-Fathir ayat 28 sebagai golongan yang paling takut
kepada Allah.
Ertinya, ulama itu adalah golongan yang gemar kepada apa yang diredai
Allah dan jauh daripada apa yang dimurkai-Nya. Mereka adalah contoh
teladan atau obor masyarakat. Tetapi tidak demikian bagi kebanyakan
mereka yang bergelar ulama hari ini.
Syeikh Mustapha Masyhur dalam bukunya Al-Qiadah Wal-Jundiyah,
telah mencatatkan beberapa ciri yang patut ada pada seorang yang
bergelar ulama. Antara lainnya: Sentiasa mengharapkan keredaan Allah.
Jauh daripada penyakit hati yang dapat menghancurkan amal usahanya
seperti riak, gila kuasa, kejar pangkat, cari pengaruh, dan sebagainya.
Berperangai penyantun, kasih sayang, lembut dan ramah. Suka bersahabat
dengan semua orang tanpa memilih orangnya. Benar dalam kata-kata,
perbuatan dan sikap. Pemaaf dan mampu menahan marah.
Di samping itu, ada pula golongan yang membuat ukuran ulama dari
sudut kepentingan diri dan puak. Ulama yang tidak daripada golongan
mereka dikatakan jahil dan orang jahil daripada golongan mereka didakwa
sebagai ulama.
Mungkin si A itu benar-benar alim orangnya, dapat memahami
kitab-kitab tradisi Islam, dapat membaca tuntutan masa dan kehendak
tempat serta ramai pula murid yang berguru dengannya. Tetapi pandangan
dan fikirannya tidak sealiran dengan golongan tertentu, maka alimnya si A
itu tidak diberi pengiktirafan oleh golongan berkenaan.
Jika si A ini tidak alim orangnya, tidak pernah belajar agama, tetapi
berimej agama, petah berbicara agama dengan sebutan istilah-istilah
agama dengan fasih, kemudian dia menjadi ahli kepada persatuan ulama
atau organisasi yang bernama agama, maka dialah ulama.
Walaupun orang yang didakwa sebagai ulama itu kerjanya menyulitkan
orang ramai, menghalang kerja-kerja pembangunan dan kebajikan dan sering
membangkitkan kebencian dan kemarahan.
Lebih sedekad lalu, menjelang pilihan raya umum 1999 dahulu, ada
seorang yang mendakwa dirinya ulama. Dia membawa cerita kononnya di
Damansara, Petaling Jaya Selangor, ada seorang kaya yang mati.
Jenazahnya bertukar menjadi khinzir. Katanya, dia sendiri
bertanggungjawab menyempurnakan jenazah itu. Ceritanya ini disebarkan
melalui pidatonya yang dirakam dan dijual dengan larisnya ke seluruh
negara.
Orang ramai percaya dengan cerita bohong itu kerana penceritanya adalah seorang yang didakwa sebagai ulama.
Masyarakat amat terpengaruh dengan mereka yang bernama ulama sehingga
yang mungkar pun menjadi makruf dan makruf bertukar menjadi mungkar
apabila ada ulama yang berkata begitu.
Mereka tidak tahu membezakan di antara ulama sebenar yang dikatakan
sebagai pewaris Nabi dengan orang yang berlakon sebagai ulama atau ulama
politik atau ulama yang mencari habuan dunia dengan cara menjual agama.
Mereka adalah pelakon yang hebat. Mereka pandai berwatak sebagai
orang yang bertakwa, warak, zuhud dan sebagainya. Pada episod yang lain
mereka bertukar warna kepada keadaan yang biasa. Mereka ini adalah
pelakon yang berjaya.
Mereka juga ahli perniagaan bermodalkan agama. Perniagaan mereka
laris dan menguntungkan, kerana ia mudah dibeli oleh pengguna. Mereka
lupa kepada amaran Allah bahawa kerja-kerja seumpama ini adalah dikutuk.
Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh sebuah hadis yang memberi erti:
Akan tiba kepada manusia suatu zaman. Tidak ada lagi Islam melainkan
pada namanya. Tidak ada ad-din melainkan pada tulisannya. Tidak ada
al-Quran melainkan untuk belajar cuma. Mereka memakmurkan masjid, tetapi
sunyi daripada sebutan nama Allah. Orang paling jahat pada zaman itu
ialah ulama mereka. Dari mulut ulama jugalah keluar fitnah dan fitnah
itu kembali kepada ulama. Dan itulah salah satu daripada alamat kiamat.
No comments: